Esprit Estate Putrajaya

Artikel

Perbezaan Antara Real Estate Agent, Probationary Estate Agent, dan Real Estate Negotiator

Dalam industri hartanah di Malaysia, terdapat beberapa jawatan penting yang terlibat dalam proses jual beli atau sewaan hartanah. Walaupun sering kali keliru, Real Estate Agent (REA), Probationary Estate Agent (PEA), dan Real Estate Negotiator (REN) adalah tiga peranan yang mempunyai fungsi dan keperluan kelayakan yang berbeza. Memahami perbezaan ini penting bagi orang awam dan bakal pembeli atau penyewa hartanah supaya dapat membuat keputusan yang tepat dalam memilih perkhidmatan profesional.

Ejen Hartanah (REA)

Seorang Ejen Hartanah (REA) boleh memiliki dan mengendalikan agensi hartanah mereka sendiri serta menggaji sehingga 50 Perunding Hartanah (REN) untuk membantu dalam penyediaan perkhidmatan hartanah. Perkhidmatan ini termasuk menjual, menyewakan, atau mencari (membeli) hartanah untuk pelanggan.

Pada tahun 2021, seorang REA kini boleh menggaji maksimum 50 Perunding Hartanah (REN) berbanding hanya 30 sebelum ini. Jika firma tersebut mempunyai lebih daripada seorang REA, bilangan REN boleh dikalikan mengikut jumlah REA dalam firma itu.

Untuk menjadi REA, seseorang perlu mendaftar sebagai Ejen Hartanah Percubaan atau Probationary Estate Agent (PEA) terlebih dahulu. Sebagai PEA, pengalaman secara praktikal dalam industri diperlukan selama 2 tahun dengan agensi yang sedia ada, menyiapkan laporan tugasan dan akhirnya menduduki Ujian Kompetensi Profesional (TPC). Maklumat terperinci mengenai prosedur ini boleh didapati di laman web rasmi BOVAEA.

Setelah lulus Ujian Kompetensi Profesional (TPC), barulah seseorang itu layak bergelar REA dan nama mereka akan tersenarai di dalam senarai Lembaga sebagai Ejen Hartanah Berdaftar. Seorang REA juga perlu memohon lesen untuk menubuhkan agensi mereka sendiri. REA perlu membawa tag pengenalan rasmi yang dikeluarkan. Tag berwarna biru ini akan memaparkan nama ejen, nama agensi, serta nombor E (E XXXX).

Probationary Estate Agent (PEA)

Probationary Estate Agent (PEA) atau Ejen Hartanah Percubaan adalah individu yang sedang menjalani tempoh percubaan untuk menjadi Ejen Hartanah Berlesen (REA). Mereka berada di bawah penyeliaan REA yang berlesen, dan ini merupakan langkah wajib dalam proses latihan peraktikal sebelum seseorang boleh memohon lesen penuh sebagai REA. Sepanjang tempoh percubaan ini, PEA perlu menghadiri kursus yang ditetapkan oleh Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah, dan Pengurus Harta (BOVAEA).

Untuk menjadi seorang PEA , Perunding Hartanah (REN) atau mana-mana individu perlu lulus satu set peperiksaan yang komprehensif yang ditetapkan oleh Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah, dan Pengurus Harta (BOVAEA). Set peperiksaan komprehensif yang mengandungi 12 kertas dalam 2 bahagian, seseorang perlu lulus kesemua 6 kertas dalam Bahagian 1 sebelum dibenarkan meneruskan ke Bahagian 2. Selain itu, anda juga boleh mengambil Kursus Diploma Hartanah atau mendaftar di Institut Penilaian Negara (INSPEN) untuk mengambil Sijil Agensi Harta Tanah (CEA) di mana program ini fokus dari aspek teori dan praktikal untuk melahirkan seorang ejen harta tanah yang berkelayakan serta berpengetahuan dari segi akademik dan mempunyai kepakaran teknikal dalam bidang agensi harta tanah.

Walaupun PEA dibenarkan untuk menjalankan aktiviti jual beli atau sewaan hartanah, mereka hanya boleh beroperasi di bawah pengawasan REA yang sah. Tempoh percubaan dengan secra praktikal ini merupakan proses yang penting untuk memastikan PEA memperoleh pengalaman praktikal dan pengetahuan yang mencukupi sebelum mereka menduduki ujian kompetensi dan lulus sebagai REA yang diberikan kebebasan sepenuhnya untuk mengurus transaksi hartanah.

Perunding Hartanah (REN)

Seorang Perunding Hartanah (REN) boleh dikatakan diambil bekerja oleh Ejen Hartanah Berdaftar (REA) bagi membantu REA dalam urusan jual beli atau sewaan hartanah. Samada secara ‘Contract of Service’ atau ‘Contract for Service’, individu ini mesti memperoleh pensijilan yang diperlukan sebelum dibenarkan untuk berkhidmat. Setiap REN mesti menghadiri kursus selama 2 hari penuh yang dikenali sebagai Kursus Pensijilan Perunding (NCC), di mana mereka akan diajar asas-asas agensi hartanah serta undang-undang, Akta dan piawaian yang berkaitan dengan industri ini.

Selepas menamatkan kursus ini, mereka akan diberikan sijil kehadiran, yang membolehkan mereka mencari dan memohon pekerjaan dengan agensi berdaftar. Majikan (firma) kemudiannya akan memohon tag REN daripada BOVAEAP.

Setelah perunding menerima tag yang ditetapkan serta nombor isu (REN XXXXX), barulah mereka boleh mula mewakili penjual, tuan tanah, pembeli dan penyewa.

Kongsikan artikel ini
WhatsApp
Facebook
Telegram

Reset password

Enter your email address and we will send you a link to change your password.

Scroll to Top