Di Malaysia, jenis hartanah boleh dibahagikan kepada beberapa jenis bergantung kepada kegunaan utama hartanah, sebagai contoh untuk kegunaan pertanian, bangunan kediaman dan komersial dan bagi kegunaan perusahaan. Untuk posting kali ini kita memfokuskan kepada jenis hartanah untuk kegunaan bangunan kediaman.
Pembangunan hartanah kediaman adalah yang paling banyak dan utama bagi memenuhi kehendak penduduk yang memerlukan tempat berlindung. Terdapat beberapa jenis hartanah kediaman yang umum. Berikut adalah senarai jenis-jenis hartanah kediaman yang ada di dalam pasaran:
- Rumah Teres (Terrace House):
- Rumah yang dibina secara bersambung dalam satu barisan. Tidak terhad kepada 1 atau 2 tingkat sahaja, kebanyakan tempat sudah ada 2.5 tingkat dan teres 3 tingkat.
- Ada juga pemaju membangunkan jenis ‘superlink’ yang sebenarnya juga adalah kategori rumah teres tetapi dengan saiz tanah yang lebih besar seperti contoh 24×80 atau 26×85 kaki persegi, berbanding teres biasa 20×70 atau 22×75 kaki persegi.
- Rumah Berkembar (Semi-Detached House):
- Rumah berkembar adalah rumah yang berkongsi satu dinding dengan rumah lain, biasanya terdapat dua unit rumah yang disambung secara simetri. Rumah berkembar mempunyai halaman di sebelah tepi dan belakang.
- Banglo (Bungalow):
- Rumah berdiri sendiri yang tidak berkongsi dinding dengan rumah lain. Ia biasanya mempunyai halaman yang luas dan harganya lebih tinggi berbanding jenis hartanah kediaman lain.
- Selain membeli rumah banglo daripada pemaju, kebanyakan pembeli lebih gemar membeli tanah lot kediaman dan membina banglo mengikut citarasa sendiri. Saiz tanah biasanya bermula dari 4,000 kaki persegi.
- Rumah Bandar (Townhouse):
- Rumah bandar adalah gabungan antara rumah teres dan kondominium. Biasanya terdapat dua unit rumah dalam satu struktur, satu di atas dan satu di bawah. Rumah bandar memberi pilihan untuk memiliki hartanah ala rumah atas tanah (landed) pada harga yang lebih mampu milik.
- Kondominium (Condominium):
- Bangunan kediaman bertingkat yang mempunyai unit-unit individu. Kondominium biasanya dilengkapi dengan kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, dan kawasan rekreasi. Kebanyakan pembangunan kondominium baru menawarkan sehingga lebih 40 jenis kemudahan.
- Apartmen (Apartment):
- Mirip dengan kondominium, tetapi apartmen biasanya mempunyai harga yang lebih rendah dan mungkin tidak dilengkapi dengan kemudahan sebanyak kondominium.
- Pangsapuri Kos Rendah (Low-Cost Apartment/Flat):
- Pangsapuri ini dibina oleh kerajaan atau pemaju swasta dengan harga yang mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah. Ia biasanya mempunyai saiz yang lebih kecil dan kemudahan yang terhad.
- Servis Residensi (Serviced Residence):
- Unit kediaman yang terletak dalam bangunan yang juga menyediakan perkhidmatan seperti penyelenggaraan, pembersihan, dan keselamatan. Ia biasanya disasarkan kepada pelabur hartanah yang ingin menyewakan kepada ekspatriat atau penyewa jangka pendek.
- Rumah Kluster (Cluster House):
- Rumah kluster berkongsi dinding belakang dan tepi dengan unit lain, biasanya 4 rumah dalam satu binaan dan dibina dalam kelompok kecil. Rumah kluster menawarkan pembeli memiliki rumah ala rumah berkembar dengan harga yang lebih murah, dan lebih banyak privasi berbanding rumah teres.
- Rumah Strata (Strata-Titled Property):
- Hartanah kediaman yang berkonsep strata biasanya merujuk kepada unit yang berada dalam pembangunan bertingkat seperti kondominium atau apartmendi mana pemilik unit juga berkongsi hak kepada kawasan bersama (common area) seperti lif, taman, dan kemudahan lain. Tetapi ada juga kediaman atas tanah atau ‘landed‘ yang berstatus strata dimana pembangunan ini mempunyai kawasan bersama yang dikongsi oleh pemilik seperti rumah kelab, dewan serbaguna dan taman rekreasi.
Jenis-jenis hartanah ini menawarkan pelbagai pilihan kepada pembeli mengikut keperluan, bajet, dan gaya hidup masing-masing. Pasaran hartanah kediaman sekarang lebih banyak jenis kediaman yang diperkenalkan oleh pemaju, kebanyakannya bermatlamat untuk rekabentuk yang lebih praktikal, menjimatkan kos pembinaan dan menawarkan harga mampu milik kepada pembeli.