Dalam proses jual beli hartanah, pemilihan Ejen Hartanah yang sesuai memainkan peranan penting untuk memastikan transaksi berjalan lancar. Selain memahami kategori Ejen Hartanah berdasarkan peranan mereka, penting juga untuk mengetahui jenis lantikan antara pemilik hartanah dan Ejen tersebut. Terdapat empat kategori utama lantikan dengan Ejen Hartanah, iaitu Lantikan Ejen Eksklusif, Ejen Tunggal (Sole Agent), Ejen Bersama (Joint Agent) dan Ejen Add-hoc. Setiap jenis perjanjian ini mempunyai ciri-ciri unik yang sesuai dengan keperluan yang berbeza.
Lantikan Eksklusif (Exclusive Appointment)
Pemilik hartanah melantik hanya satu Ejen Hartanah untuk menguruskan hartanah mereka dalam tempoh tertentu. Mana-mana pihak yang berjaya menyempurnakan transaksi hartanah tersebut, ejen yang dilantik secara eksklusif ini berhak untuk menerima fi profesional seperti telah dipersetujui. Kelebihan lantikan eksklusif ini adalah ejen yang dilantik akan berusaha dengan lebih agresif membantu pemilik dalam memasarkan hartanah mereka.
Lantikan Ejen Tunggal (Sole Agent)
Dalam lantikan ini, satu Ejen Hartanah dilantik untuk menguruskan penjualan atau penyewaan hartanah. Pemilik hartanah yang melantik Ejen tersebut juga boleh menguruskan sendiri dan jika pemilik yang menyempurnakan transaksi hartanah tersebut, pemilik hartanah tidak perlu membayar fi profesional kepada Ejen Hartanah.
Lantikan Bersama (Joint Appointment)
Pemilik melantik lebih daripada satu Ejen Hartanah untuk bekerjasama dalam memasarkan hartanah. Setiap Ejen Hartanah mempunyai hak sama dan maklum akan Ejen-ejen yang terlibat. Hanya Ejen Hartanah yang berjaya menyempurnakan transaksi hartanah tersebut layak menerima fi profesional. Ini memberikan pemilik hartanah lebih banyak pilihan dan potensi pemasaran yang lebih meluas.
Lantikan Terbuka (Ad Hoc/ Open Appointment)
Pemilik tidak terikat dengan mana-mana Ejen Hartanah khusus dan boleh melantik beberapa Ejen secara serentak. Ejen Hartanah yang berjaya mendapatkan pembeli atau penyewa akan menerima fi profesional. Antara kekurangan jenis lantikan ini ialah Ejen Hartanah mungkin kurang agresif untuk melabur modal dalam aktiviti pemasaran mereka. Selain itu, potensi wujudnya ‘perang harga’ sesama Ejen-ejen yang terlibat kerana persaingan yang tinggi antara mereka.
Kesimpulan
Memahami jenis-jenis perjanjian ini membolehkan pemilik membuat keputusan yang tepat dalam melantik ejen hartanah, seterusnya memaksimumkan peluang untuk menjual hartanah dengan harga terbaik dalam masa yang singkat.