Kos yang Ditanggung Oleh Pembeli
Dalam artikel yang lepas, kita telah menbincangkan kos yang terlibat untuk penjual hartanah. Bagaimana pula dengan pembeli?
Kebiasaannya ejen hartanah akan menerangkan proses dan kos-kos yang perlu disediakan oleh pembeli selain daripada deposit 10%. Artikel ini akan mengupas secara terperinci kos yang terlibat bagi pembeli hartanah di Malaysia.
1. Yuran Guaman
Pembeli juga perlu membayar yuran guaman untuk penyediaan dokumen Perjanjian Jual Beli (S&P) serta urusan pindah milik hartanah. Sama seperti penjual, yuran guaman ini bergantung kepada nilai hartanah dan mengikut skala yang ditetapkan oleh Akta Profesion Guaman.
Sebagai contoh:
- Hartanah bernilai RM500,000 pertama: Yuran guaman sekitar 1.25%
- Hartanah seterusnya: Yuran akan menurun mengikut skala yang ditetapkan.
Selain itu, jika pembeli memohon pinjaman perumahan, yuran guaman tambahan dikenakan untuk pengurusan perjanjian pinjaman tersebut.
Jumlah keseluruhan kos peguam adalah termasuk yuran guaman, duti setem dan ‘disbursement’, iaitu bayaran untuk penyelesaian urusan dan caj agensi2 tertentu. Kesemua kos ini akan dinyatakan dalam sebut harga yang dikeluarkan oleh pihak peguam, di mana pembeli boleh mohon sebelum melantik peguam untuk mewakili mereka.
2. Duti Setem Pindah Milik
Duti setem adalah satu lagi kos yang perlu ditanggung oleh pembeli. Duti setem pindah milik dikenakan ke atas harga jualan hartanah dan perlu dibayar sebelum pindah milik dapat direkodkan.
Kadar duti setem pindah milik adalah seperti berikut:
- RM100,000 pertama : 1%
- RM100,001 hingga RM500,000 : 2%
- RM500,001 hingga RM1,000,000 : 3%
- Lebih RM1,000,000 : 4%
3. Duti Setem Perjanjian Pinjaman
Jika pembeli mendapatkan pinjaman perumahan daripada bank, duti setem akan dikenakan ke atas dokumen perjanjian pinjaman yang telah ditetapkan pada kadar 0.5% daripada jumlah pinjaman. Kos ini adalah tambahan kepada yuran guaman yang dikenakan untuk menyediakan dokumen pinjaman.
4. Kos Penilaian Hartanah
Pembeli yang mengambil pembiayaan bank biasanya perlu menanggung kos penilaian hartanah. Ini adalah kos yang dibayar kepada pihak penilai bertauliah untuk mengeluarkan laporan penilaian hartanah yang diperlukan oleh pihak bank bagi menentukan nilai pasaran semasa hartanah tersebut sebagai syarat untuk kelulusan pinjaman. Caj yang dikenakan adalah bergantung kepada harga hartanah dengan kadar yang telah ditetapkan oleh Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah.
Sebagai contoh:
- RM100,000 pertama: 0.25%
- RM2 Juta seterusnya : 0.2%
Kesimpulan
Memahami kos-kos ini membolehkan pembeli merancang kewangan dengan lebih teliti dan bersedia sebelum mencari rumah idaman mereka. Biasanya, Ejen Hartanah akan menasihati pembeli untuk bersedia dengan jumlah tunai antara 13%-15% daripada harga rumah yang hendak dibeli sebelum meneruskan urusan pembelian.
Walaubagaimanapun, terdapat pengecualian tertentu yang diberi oleh kerajaan terutamanya kepada pembeli rumah pertama, serta kemudahan yang ditawarkan oleh pihak bank bagi mengurangkan jumlah tunai yang perlu dikeluarkan bagi meringankan beban kewangan pembeli.
Sila hubungi Ejen Hartanah kami untuk mendapatkan khidmat nasihat jika anda merancang untuk membeli rumah idaman anda. Kami sentiasa bersedia untuk memastikan proses pembelian yang lancar dan memudahkan.