Dalam proses jual beli hartanah, terdapat pelbagai kos yang perlu ditanggung oleh penjual dan pembeli. Kos ini bukan sahaja melibatkan harga hartanah itu sendiri, tetapi juga kos tambahan seperti yuran guaman, cukai keuntungan, yuran ejen hartanah, dan duti setem. Mengetahui kos-kos ini adalah penting agar kedua-dua pihak dapat membuat persediaan kewangan yang sewajarnya. Artikel ini akan mengupas secara terperinci kos yang terlibat bagi penjual hartanah di Malaysia.
1. Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) atau Real Property Gain Tax (RPGT)
Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) atau biasanya kita sebut sebagai RPGT adalah cukai yang dikenakan ke atas keuntungan yang diperoleh daripada penjualan hartanah. Hasil daripada penjualan hartanah jika nilainya lebih tinggi daripada nilai pemerolehan, setelah ditolak segala perbelanjaan yang dibenarkan dan pengecualian sedia ada, keuntungan bersih yang diperolehi oleh penjual akan dikenakan cukai mengikut kadar berikut:
- Hartanah dijual dalam 1-3 tahun pemilikan : 30%
- Hartanah dijual dalam 4 tahun pemilikan : 20%
- Hartanah dijual dalam 5 tahun pemilikan : 15%
- Hartanah dijual tahun ke 6 dan seterusnya : 0% (Individu) / 10% (Syarikat)
- Tiada RPGT dikenakan jika hartanah diwarisi.
Walaubagaimanapun, bagi seorang Warganegara yang menjual hartanah berstatus kediaman boleh memohon pengecualian daripada membayar cukai RPGT hanya sekali seumur hidup.
2. Yuran Guaman
Yuran guaman diperlukan untuk penyediaan dan pelaksanaan dokumen Perjanjian Jual Beli (Sale and Purchase Agreement, S&P). Yuran guaman untuk penjual biasanya diatur mengikut skala yang ditetapkan oleh Akta Profesion Guaman, berdasarkan nilai hartanah tersebut.
Sebagai contoh:
- Hartanah bernilai RM500,000 pertama: Yuran guaman sekitar 1.25%
- Hartanah seterusnya: Kadar yuran akan menurun mengikut skala yang ditetapkan.
3. Yuran Ejen Hartanah
Jika penjual menggunakan khidmat ejen hartanah, mereka perlu membayar yuran profesional kepada ejen tersebut. Yuran ejen hartanah maksimum 3% daripada harga jualan hartanah, tertakluk kepada perundingan antara penjual dan ejen. Yuran ini dikenakan SST iaitu sebanyak 8% daripada nilai yuran tersebut.
4. Kos Penamatan Gadaian (Jika ada)
Jika hartanah tersebut dibeli menggunakan pinjaman perumahan, penjual mungkin perlu menanggung kos untuk penamatan gadaian dengan pihak bank. Kos ini termasuk yuran guaman untuk pelepasan gadai janji dan caj penamatan pinjaman.
5. Lain-lain
Selain daripada kos-kos di atas, penjual juga perlu memastikan bil-bil seperti cukai tanah, cukai pintu/taksiran, elektrik, air dan pembentungan sudah diselesaikan dan tiada tunggakan semasa proses jualan sedang berjalan.
Kesimpulan
Dalam menentukan harga jualan hartanah, penjual bukan sahaja perlu melihat nilai atau harga pasaran hartanah tersebut tetapi juga perlu mempertimbangkan kos-kos yang terlibat selain jumlah baki pembiayaan semasa (jika ada). Ini bagi memastikan pulangan daripada jualan tersebut ‘berbaloi’ serta menguntungkan.
Pastikan anda berbincang dahulu dengan Ejen Hartanah yang anda lantik dan dapatkan gambaran pulangan yang anda bakal perolehi sebelum proses penjualan bermula.
Mencari pakar untuk membantu anda menjual hartanah? Hubungi Ejen Hartanah kami berdasarkan kawasan pilihan anda.